Tiada Cukai Untuk Perniagaan Digital

Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai rancangan untuk mengusulkan apa-apa bentuk cukai baru terhadap perniagaan e-commerce.

Sebaliknya, Menteri, Tan Sri Annuar Musa mengatakan bahawa kementerian ingin menggalakkan lebih banyak orang untuk mengambil bahagian di dalam sektor tersebut.

“Dasar percukaian berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan biasanya, setiap saranan yang berkaitan dengan cukai akan diumumkan pada sesi anggaran tahunan.

“Walaupun begitu, kementerian ini tidak memiliki sebarang rancangan untuk memperkenalkan bentuk cukai baru kerana kami ingin menggalakkan lebih ramai penyertaan dalam bidang e-commerce ini,” katanya.

Usaha untuk mendorong penyertaan kaum muda dalam ekonomi digital, Annuar mengatakan fokus utama kerajaan sekarang adalah memastikan penyambungan jalur lebar negara dapat mencapai 100 peratus, dan menjaga kualitinya.

“Banyak tempat memiliki kemudahan jalur lebar tetapi kualitinya rendah. Oleh itu pihak kerajaan fokus pada program Jendela (Jaringan Digital Nasional) untuk memastikan 98 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G (berubah dari 3G).

“Juga, ada kaedah Point of Presence (PoP) yang melibatkan program jalur lebar untuk 4000 buah sekolah terpilih untuk meningkatkan sambungan internet yang tidak stabil,” katanya.

Menurut Annuar lagi, ada juga program lain yang telah dilakukan untuk memperluaskan usaha ini ke daerah luar bandar, termasuk kempen e-dagang untuk perusahaan kecil, sederhana dan mikro yang dilaporkan telah menghasilakn keuntungan lepada 204262 peserta.

Di samping itu, katanya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk mempromosikan penguasaan sistem pembayaran teknologi kewangan (FinTech), e-dagang dan aplikasi lain melalui program yang sedang berjalan dan berstruktur, selain meningkatkan jumlah pusat ekonomi digital di seluruh negara.

“Usaha ini akan dipergiat untuk memastikan generasi muda kita menguasai bidang-bidang ini,” katanya.